Saturday, December 4, 2021

Misteri ‘Si Comel’, Bunian Yang Berlegar Di Dalam Sebuah Fakulti Universiti Tempatan

Kita hidup di dunia ini perlu berkongsi dengan pelbagai makhluk, contohnya seperti haiwan, tumbuhan dan termasuklah juga makhluk halus.

Sebut je makhluk halus ni mesti dah meremang bulu roma semua orang.

Kita juga selalu dengar pelbagai kisah hantu dalam pelbagai versi, tapi kali ini Wiser Plus ingin membawakan kisah-kisah seram berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan rakan-rakan ketika belajar di fakulti universiti tersebut.

Kisah misteri yang ingin dikongsikan pada kali ini adalah tentang kisah makhluk halus yang dikatakan daripada kaum bunian.

Bunian tersebut digelar ‘Sayang’ atau ‘Si Comel’. Penulis mengenalinya sebagai ‘Si Comel’

Kisah isteri ini sangat popular dan diperkatakan oleh para pelajar di fakulti tersebut sehingga ke hari ini.

Kisah 1

Dahulu dikhabarkan bahawa terdapat sebuah perkampungan bunian di satu kawasan sekitar fakulti itu.

Apabila mula proses pembinaan, pekerja-pekerja pembinaan mendakwa mereka berdepan pelbagai kejadian misteri.

Antaranya adalah seperti ketika setiap kali pekerja pembinaan ingin menebang pokok-pokok yang ada di sana, terdapat sebatang pokok yang tidak boleh ditebang setelah berkali-kali pekerja cuba untuk menebangnya.

Kejadian misteri yang berlaku itu menyebabkan pihak pengurusan memanggil seorang ustaz untuk melihat apa yang berlaku. Setelah diselidiki rupa-rupanya di situ terdapat sebuah perkampungan bunian yang telah lama bertapak di sana.

Kaum bunian di situ dikatakan sangat marah kerana manusia telah menganggu tempat tinggal mereka.

Ustaz tersebut telah berbincang dengan bunian tersebut dan akhirnya mereka bersetuju untuk dipindahkan ke satu kawasan yang baru dan selamat.

Selepas rundingan itu, pihak pembinaan kembali boleh meneruskan kerja-kerja di tempat tersebut dengan izin mereka.

Tetapi ketika proses pemindahan berjalan, dikatakan terdapat satu bunian yang tertinggal di situ yang digelar dengan nama ‘Si Comel’ atau ‘Sayang’.

Selepas itu, lebih banyak kejadian yang menjadi bualan hangat antara pensyarah, pekerja fakulti dan mahasiswa di fakulti tersebut.

Kisah 2

Kisah 2 pula merupakan pengalaman penulis sendiri dan rakan-rakan yang diganggu ‘Si Comel’ dalam sebuah ‘bilik H’ di fakulti universiti yang kami belajar itu.

Ketika itu, penulis dan rakan-rakan berada pada semester pertama dan sedang menjalani kuliah di bilik H bersama pensyarah.

Pensyarah tersebut merupakan pensyarah ‘senior’ di situ dan sering menceritakan kisah-kisah seram tentang ‘Si Comel’ sepanjang belajar dengan beliau.

Pernah pada satu ketika, semasa pensyarah sedang sibuk memberi kuliah, tiba-tiba mikrofon seperti diketuk-ketuk dan terdengar bunyi suara perempuan bercakap menggunakan mikrofon tersebut melalui pembesar suara.

Apa yang peliknya, pensyarah tidak mengendahkan bunyi tersebut dan meneruskan kuliah seperti biasa.

Kami semua sudah berbisik sesama sendiri sehingga pensyarah berkata “Ada orang nak bagi kuliah sekali ke hehe”. Kami semua pun terdiam kerana takut, memang naik bulu roma semua orang masa tu.

Baru dalam semester pertama, kami sudah pun mengalami pengalaman seram seperti itu. Tapi kami sebenarnya sudah tahu tentang kewujudan ‘Si Comel’ pada waktu itu

Itu yang menambahkan lagi seram sehinggakan kami tak senang duduk dalam bilik kuliah tersebut. Tetapi selepas 3 minit, suara perempuan di pembesar suara sudah tiada dan kami pun menjalani kuliah seperti biasa.

Selepas habis kelas, semua menceritakan perasaan takut masing-masing sementara menunggu bas untuk ke kelas seterusnya. Bukan apa, takut dalam kelas tadi ada yang kena histeria je.

Kisah 3

Kisah ketiga ini berkenaan tentang pengalaman seorang pelajar daripada fakulti lain yang datang untuk menghantar borang di hadapan bangunan fakulti.

Pelajar tersebut dikatakan ingin menghantar borang di pejabat berhadapan dengan bangunan fakulti tersebut pada jam 12 tengah hari.

Pada waktu itu, semua pekerja keluar untuk berehat tetapi menurut pelajar tersebut, ada seorang wanita berbaju putih berada dalam pejabat tersebut ketika dia masuk.

Dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat wanita tersebut kerana terpukau dengan kecantikannya.

Malah wanita berpakaian putih itu menerima borang yang diberikan pelajar tersebut tanpa berkata apa-apa. Selesai menghantar borang tersebut, pelajar itu pun beredar.

Cuma tidak lama kemudian, pelajar tersebut menelefon pihak pejabat untuk memastikan mereka memproses borang permohonan tersebut dengan cepat.

Tetapi apa yang mengejutkan adalah pihak pejabat menyatakan bahawa mereka semua keluar untuk makan dan solat pada ketika itu.

Bermakna, tiada sesiapa pun yang berada di pejabat pada waktu pelajar itu menghantar borangnya dan pihak pejabat itu turut memaklumkan bahawa tiada pekerja wanita di sana yang memakai baju berwarna putih pada hari tersebut.

Tetapi kakitangan pejabat itu ada perasan borang permohonan pelajar tersebut berada di tempat sepatutnya.

Pelajar tersebut menceritakan pengalaman tersebut kepada rakan-rakan sebaik sahaja mengetahui perkara tersebut.

Dia tidak menyangka akan berdepan dengan ‘Si Comel’ pada waktu siang hari. Menurutnya itu merupakan satu pengalaman yang menakutkan baginya kerana sebelum ini dia tidak pernah terserempak dengan mana-mana makhluk halus seperti itu.

Kisah 4

Kisah seterusnya ini pula berdasarkan pengalaman pengawal-pengawal keselamatan fakulti itu yang bertugas pada syif malam. Kisah ini telah menjadi bualan hangat pelajar di fakulti tersebut.

Menurut cerita pengawal-pengawal keselamatan tersebut, mereka sering mendapat panggilan telefon daripada seorang perempuan yang meminta tolong untuk menyelamatkannya di dalam sebuah makmal fakulti.

Selepas menerima panggilan kecemasan itu, mereka segera bergegas ke makmal tersebut dengan harapan dapat menyelamatkan perempuan tersebut.

Namun begitu, apabila tiba di lokasi mereka mendapati tiada seorang manusia pun berada di situ. Tidak berlaku sekali sahaja, kejadian sama tetap berulang kali berlaku pada para pengawal keselamatan yang bertugas pada syif malam

Sejak daripada kejadian tersebut, mereka berhenti pergi ke makmal dan bekerja seperti biasa. Panggilan tersebut tetap muncul pada setiap hari tetapi makmal masih kosong tanpa sebarang tanda-tanda terdapatnya mahasiswa yang terperangkap di sana.

Ramai yang mendakwa perempuan yang membuat panggilan tersebut merupakan ‘Si Comel’ kerana dari dahulu lagi memang ‘perempuan’ itu yang sering ‘ada’ untuk menganggu.

Kisah-kisah ini masih segar dalam ingatan penulis dan rakan-rakan. Fikir sahaja tentangnya membuatkan meremang bulu roma.

Bila menulis pun rasa seperti diperhatikan saja. Pernah sekali tu di mana penulis bercerita tentang ‘Si Comel’ di meja makan tiba-tiba penulis tersentak seperti ada yang menegur. Fuh, memang seram.

Walaupun diganggu oleh makhluk halus tetapi kita perlu ingat bahawa kita sebagai manusia perlu kuatkan semangat dan ingat kepada tuhan.

Baca Seterusnya : Cuba Dengarkan Lima Lagu Seram Ini Sebelum Anda Tidur

Anis Maisarah
Nissy | 23 Tahun | Minat Thriller & Horror Movie | Eat Well, Live Well
ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

WISER+

18,147FansLike
22,000FollowersFollow
909FollowersFollow
41,100SubscribersSubscribe
- Advertisment -

Terbaru