Wednesday, May 25, 2022

5 Inovasi Penting Ini Tidak Dipatenkan Demi Kepentingan Pengguna Di Seluruh Dunia

Sejak zaman berzaman lagi, manusia kreatif dalam menghasilkan pelbagai inovasi bagi menjadikan kehidupan manusia lebih baik.

Adalah satu kebiasaan pula jika sesuatu ciptaan yang dihasilkan seseorang pencipta itu mahu supaya ciptaannya itu diketahui umum. Lebih-lebih lagi bagi mengaut keuntungan daripada hasil ciptaannya itu.

Secara ringkas, paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu rekacipta, sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.

Tetapi terdapat juga segelintir pereka yang tidak dikenali dan tidak mengambil untung hasil daripada inovasinya dengan mempatenkan ciptaannya.

Hasil ciptaan mereka itu pula bukanlah biasa-biasa kerana ia memberi impak yang besar kepada pengguna di seluruh dunia sehinggalah ke hari ini.

Jadi, jom kita lihat apakah inovasi-inovasi yang tidak dipatenkan tersebut.

1. WWW

World Wide Web atau lebih dikenali sebagai WWW dicipta oleh Timothy John Berners-Lee iaitu seorang ahli sains komputer British.

Ia mula dicipta pada tahun 1989 dan diikuti dengan penciptaan HyperText Transfer Protocol (HTTP) dan Hypertext Markup Language (HTML).

Timothy John Berners-Lee, pencipta World Wide Web.

WWW dilancarkan pertama kalinya menerusi internet di laman sesawang pertama yang dilancarkannya pada 6 Ogos 1991.

Laman sesawang tersebut http://info.cern.ch menerangkan tentang projek World Wide Web, menggambarkan apa itu laman sesawang dan menerangkan cara menggunakannya.

Berners-Lee telah menolak permintaan pihak majikannya, CERN supaya mempatenkan WWW. Sebaliknya beliau mahu WWW terbuka dan berkembang pesat kepada pengguna di seluruh dunia.

Ketika menerima anugerah Millenium Technology pada tahun 2004, beliau menegaskan, sekiranya WWW dipatenkan, tidak akan ada World Wide Web. Sebaliknya yang akan wujud hanyalah sekadar sejumlah kecil laman sesawang sahaja.

Sumber: HISTORY, Davison

2. Rekaan Ikatan Tali Pinggang Keselematan bentuk V dalam Kenderaan

Dunia permotoran perlu amat berterima kasih kepada Nils Bohlin iaitu seorang jurutera di syarikat pengeluar kereta dari Sweden iaitu Volvo.

Ini kerana beliaulah yang telah bertanggungjawab mereka bentuk 3 poin bentuk V bagi ikatan tali pinggang keselamatan kenderaan dalam tahun 1959.

Sejak dari itu, rekaan tersebut telah menjadi standad keselamatan penting yang telah menyelamatkan jutaan nyawa dalam semua kereta moden di dunia sehinggalah kini.

Walaupun Volvo mempatenkan rekaan tersebut, tetapi ia adalah untuk tujuan mengelakkan rekaan mereka itu daripada ditiru dari pihak luar secara tidak sah serta bagi menetapkan standad keselamatan dalam industri.

Volvo pula tidak mengambil untung daripada paten tersebut.

Nils Bohlin.

Sebaliknya Volvo dengan bermurah hati membenarkan paten rekaan tali pinggang keselamatan mereka itu untuk turut digunakan oleh semua pesaing pengeluar kereta lain tanpa sebarang bayaran demi menggalakkan pemasangan tali pinggang keselamatan dalam kereta serta menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Pada tahun 2002, Nils Bohlin dijadualkan untuk menerima penghormatan dari Amerika Syarikat untuk menyenaraikan namanya ke dalam U.S. National Inventors Hall of Fame.

Tetapi pada tarikh penghormatan itu iaitu pada 26 September 2002, beliau telah meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu dan berada di dalam kenderaan yang bergerak adalah diwajibkan.

Jika tidak, anda boleh disaman maksimum bernilai RM300.00.

Sumber: Volvo, Nils Bohlin | Lemelson (mit.edu), Forbes

3. Mesin Karaoke

Mesin Karaoke telah dicipta oleh Daisuke Inoue pada tahun 1971. Mesin karaoke yang dicipta oleh beliau itu tidak dipatenkan kerana beliau mahu orang ramai belajar menyanyi.

Beliau langsung tidak mengaut sebarang keuntungan daripada industri yang bernilai berbilion dolar itu.

Daisuke Inoue bersama mesin Karaoke pertama ciptaannya, 8 Juke.

Dalam tahun 2004 lalu, beliau telah menerima anugerah Ig Nobel bagi kategori Keamanan. Ig Nobel adalah satu anugerah dari Universiti Harvard yang diberikan pada ciptaan dan inovasi sains, teknologi dan budaya yang pelik-pelik.

Karaoke adalah perkataan Jepun yang bermaksud orkestra kosong.

Sumber: Open Culture

4. Strip Magnetik Pada Kad Kredit

Ron Klein merupakan seorang tokoh inovasi yang cukup terkenal. Beliau memegang begitu banyak paten ciptaan dan menerima royalti daripada ratusan inovasi yang dipatenkannya.

Ron Klein. Kredit: The Grandfather of Possibilities

Walaubagaimanapun, salah satu ciptaan terpenting beliau tetapi tidak dipatenkan adalah strip magnetik yang diperkenalkan pada Kad Kredit.

Penggunaan kad kredit boleh dijejak sejak 1890an lagi di negara-negara Eropah.

Tetapi aplikasi strip magnetik pada kad kredit hanya diperkenalkan oleh Ron Klein, iaitu seorang tokoh inovasi terkenal Amerika dalam tahun 1960an.

Sebelum kehadiran strip magnetik pada kad kredit atau kad debit, pekedai terpaksa menyemak nombor secara manual pada kad kredit bagi menyemak sama ada palsu atau asli. Sekaligus melambatkan urusan jual beli.

Tetapi dengan strip magnetik yang dilekatkan pada kad kredit dan kad debit, ia memudahkan dan melancarkan urusan jual beli dan pengesahan.

Inovasi beliau itu telah aplikasikan oleh jutaan syarikat untuk produk-produk mereka sehingga ke hari ini.

Sumber: TheStreet, streetdirectory,

5. Mancis Api

Mancis api yang wujud sehingga ke hari ini adalah hasil daripada inovasi seorang ahli kimia dari Britain bernama John Walker. Ia dicipta dalam tahun 1826.

John Walker, pencipta mancis api.

Mancis api itu terhasil daripada eksperimen secara tidak sengaja yang dijalankan beliau di mana elemen kimia yang melekat pada stik kayu terbakar secara tiba-tiba apabila digoreskan pada permukaan kasar.

Beliau mula menjual mancis api ciptannya dengan nama  “Friction Light” pada 12 April 1827 di kedai farmasi miliknya di Stockton dan terus menjadi popular di bandarnya.

Mancis api pertama ciptaan John Walker. Kredit : BBC

John Walker dinasihatkan supaya mempatenkan ciptaannya itu. Tetapi beliau menolaknya kerana merasakan mancis api ciptaannya itu masih belum cukup sempurna.

Beliau bimbangkan kekuatan api yang tercetus dari goresan yang didapati boleh merosakkan karpet atau pakaian jika terkena padanya.

John Walker meninggal dunia pada 1 May 1859 di Norton, England. Beliau menerima kredit daripada ciptaannya itu hanya selepas kematian beliau.

Sumber: BBC

Baca Sekarang : 3 Hotel Ini Antara Yang Paling Berteknologi Tinggi Dan Futuristik Di Dunia

Anis Maisarah
Nissy | 23 Tahun | Minat Thriller & Horror Movie | Eat Well, Live Well
ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

WISER+

18,147FansLike
22,000FollowersFollow
909FollowersFollow
41,100SubscribersSubscribe
- Advertisment -

Terbaru